Wednesday, March 12, 2014

#MH370

Aneh ya. Aku tidak kenal siapa-siapa di dalamnya. Tapi yang pasti sejak misteri hilangnya ia, hati aku memberat. sebak. mata bergenang. bulu roma meremang tiap kali lihat warta tentangnya di TV.
Ternyata bukan cuma aku. Yang jelasnya satu Malaysia bahkan seluruh dunia juga turut merasakan hal yang sama.

Hari ini. hari ke-lima. Masih. masih sama. masih misteri. masih dengan spekulasi masing-masing. Hakikatnya, seluruh dunia telah sama-sama menghantar aset masing-masing dalam usaha mencari dan menyelamat. Tetap juga penantian berakhir dengan penantian.

Di sudut hati aku yang paling dalam, terdetik mereka masih selamat. Aku melihat dengan mata hati. Cuba berfikir semula, mengapakah masih tiada jejak dan kesan?



Misteri. Masih misteri.  Bagaimanapun ia, kita tidak boleh menolak semua kemungkinan. Kecanggihan Sains dan teknologi juga tidak dapat mengatasi misteri alam yang tidak kelihatan atau lebih tepat lagi, misteri Alam Ghaib.  Segala-galanya memungkinkan kerana Allah Maha Berkuasa atas segalanya.

Apa pun jua, harapan dan doa tetap diiring, bergandingan bersama usaha yang tidak putus.  Semoga Semuanya baik-baik saja. Amin Ya Rabb




Saturday, May 11, 2013

kebertanggungjawaban

2013 dan aku punya sesuatu untuk dibanggakan. Julung kalinya aku punya kesempatan untuk sama-sama mendapat cat biru pada jari. Sama-sama merasakan kobar jiwa kempen. Sama-sama menyatakan rasa terdorong melakukan pada yang namanya tanggungjawab.

Syukur. Beribu syukur aku panjatkan. Kerana apa? Aku tergolong dalam mereka yang punya rasa sedar. Sedar bahwa satu undi itu membawa kepada satu makna yang besar. Pembetulan. Cukup dan amat besar. Harus diterima hakikatnya, tidak semua teman keliling aku yang punya rasa sama. Masih ada, kebanyakannya, yang ambil enteng. Tidak kurang, yang patut aku hulur pujian, mereka yang lebih kobar semangatnya dari aku. Sama-sama meledak jiwanya seiring usia 21, 22 dan 23 itu. Syabas adalah yang paling sesuai untuk kalian.

Apa sahaja yang aku perkatakan di sini, bukanlah untuk menghukum, berkata tanpa fakta, berlagak cendekiawan, hidung tinggi, atau apa saja yang sekufu dengannya. Bagaimanapun jua aku punya satu cadangan atau lebih tepat, nasihat buat taulan keliling aku. Ya, kalian.

Keliling kita kala ini penuh dengan kepalsuan, penipuan dan sogokan yang akhirnya membawa kepada ketidakpercayaan. Apa yang keluar dari mulut, selagi namanya mulut manusia, masakan kita boleh mengesahkan yang ia seratus persen benar? Misalnya. Coba saja kalian tonton berita atau warta di tivi. Lihat. Pandang. Perdengar apa yang diperkata mereka. Ya, bisa saja dapat info, tetapi, untuk dunia serba moden dan teknologi ini, perlu kepada kita untuk mendapatkan informasi tambahan, dan carigali maklumat dari laman sesawang internet, bagi mengesahkan atau membuat perbandingan terhadap sesuatu isu yang hangat dibicara atau diperdebat.

Juga, untuk semua, tolong matangkan kotak fikiran. Buka seluas yang mungkin. Pandanglah ke depan. Jangan masih di takuk lama, takut, herdik sana sini. Setidak-tidaknya, mereka yang menyuarakan ideologi politik mereka, punya pendapat dan tanggapan sendiri. Biarlah. Itu gunanya akal yang Dia beri. Jangan sekadar tahu protes dan bingit. Tepuk dada sendiri dan tanya hati, apakah aku sudah usai tanggungjawab aku sebelum bikin bingit pada orang lain? Usaikah? Fikir-fikirkan ya.

Akhir sekali, aku tidak punya rasa takut atau gentar, sama sekali ragu-ragu dengan pilihan aku pada parti yang aku pangkahkan 5 Mei yang lalu. Sudah tentu saja ada teman-teman keliling yang menunjukkan riak tidak puas hati, tida sehaluan, dan tidak sependapat denganku tetapi pada aku mudah saja. Aku punya pendirian yang teguh, aku punya sebab sendiri dan terpentingnya, aku masih bersyukur apa adanya. Wallahualam


Wednesday, March 13, 2013

Jali.



Petang itu seperti kelazimannya dia mengheret kotak lusuh itu bersama kudratnya yang sudah nyawa-nyawa ikan. Penat? Apa yang dia terdaya? Itu sahaja pilihan yang dia ada. Kotak lusuh itu, dan tongkat. Sabtu itu, dia ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Sesak. Seperti selalunya juga. Di ceruk sebelah kedai yang paling hujung itu, dia membentangkan kotak lusuh tadi. Tongkatnya lantas dibaringkan. Lega. Walau cuma sebentar. Sambil melepaskan lelah itu, dadanya yang seakan memberat diurut berkali-kali. Serasa ada awan yang berat di situ. Tiga tahun. Selama tiga tahun itu, dia menjeruk rasa. Apa saja yang tidak pernah dia hadam, cuba? Keji? Caci? Maki? Hinaan? Itu semua sekadar angin lalu buat dia. Hendak menyalahkan takdir tidak sama sekali kerana dia sedar, hilangnya kedua-dua kaki itu ada penyebabnya. Tuhan sayang. Masakan Tuhan sengaja menguji hambanya tanpa sebab? Kerana kemalangan itu, dia bukan saja kehilangan kaki, malah kedua-dua orang tua dan adik perempuannya juga.

Jali terus menadah bekas tayar yang telah dicuci itu sebagai tabung bekasnya mengemis. Mendung kelabu yang bertamu di wajahnya seakan memantulkan seribu rasa yang dia simpan.  Dia menilik badannya, semakin melidi. Hasil kemisnya tidaklah seberapa. Jika ada, dapatlah dia menjamah sesuap dua nasi dan air masak. Jika tidak, apa juga lebihan makanan yang dia jumpa, akan dikutip. Selalu dipujuk hatinya supaya bertahanlah, sebusuk-busuk sisa dan lebihan makanan itu, ada juga penyambung nyawanya barang secebis cuma.

Sedang Jali menyambungkan rantaian kenangan dan masa depannya itu, tabung kemisnya dirasakan bergoyang. Dilihatnya tangan seorang wanita menghulurkan dua keping not berwarna merah. Segaris senyum pada wajah tenang itu. Sekonyong-konyong Jali merasakan dadanya tidak berombak lagi. Seakan satu kuasa ghaib yang entah dari mana muncul menjadikan kudratnya yang empat kerat itu tiba-tiba menjadi bersemangat. Cahaya yang keluar dari mata si penghulur not itu terus-terusan menusuk ke dalam sanubari Jali. Sang Suria di atas seolah-olah menyaksikan babak itu, dengan tidak semena-mena memancarkan cahayanya...
..........................................................................................................................................

Tuesday, January 22, 2013

JOZAN dan Ubat

Biasanya dalam hidup sehari-hari pasti kita akan ketemu sama dua perkara.  Suka dan duka.  Bezanya sesama kita, adalah bagaimana kita melihat waktu duka itu sebagai satu yang boleh diubati.  Semua pun akan merasakan hal yang sama.  Saat jatuh, saat lemah, saat murung, saat depresi, atau apa-apa sahaja yang berkait dengan kedukaan. Logik bukan. Alangkan roda juga berputar atas dan bawah, inikan pula ruang lingkup hidup kita yang bukan sentiasa berpaksi kepada suka atau gembira sahaja.  Itu rencah di dalam yang namanya kehidupan.  Sama teorinya seperti garam dan gula di dalam masakan.

Maharajalawak Mega 2012. Siapa yang tidak pernah melihat rancangan jenaka ini aku cop penipu. Jika aku bilang JOZAN. Nah, lebih-lebih lagi. Memang cukup dikenali dengan lelucon mereka yang bersahaja dan menggeletek. Seiring dengan populariti kedua-dua mereka Johan dan Zizan, membuatkan nama mereka tidak pernah lari dari Juara Satu sepanjang pertandingan yang berlangsung selama sepuluh minggu itu. Ini antara intipati yang ingin aku kongsi. Pernah kalian dengar 'ketawa itu ubat'? Ya, memang tiap dari masalah perlukan solusi. Jangan dilupa, bagaimana cara kita mengatasi itu juga penting. Bagaimana kita mencari inspirasi. Bagaimana kita mencari semangat. Semua juga tahu ketawa akan mengurangkan stress dan depresi. Masih tidak percaya? Cubalah.

Berbalik kepada JOZAN.  Kalian lihat saja Johan.  Ditakdirkan kurang lebih tiga minggu sebelum final pertandingan itu, dia jatuh sakit yang mana memerlukannya rehat selama enam bulan lamanya. Mahu tidak mahu, Zizan membuat persembahan secara berseorangan. Nah, lihat, mereka juga punya masalah bukan? Pinjam semangat mereka. Bagaimana mereka mengatasai masalah itu, bagaimana mereka mengatasi kedukaan yang dialami bercampur stress dengan persaingan, 'desakan' peminat mahukan yang terbaik dan macam-macam lagi. Hasilnya, mereka benar-benar membuktikan kehebatan mereka di pentas lawak dengan merangkul gelaran Juara. Semangat mereka memang harus dipuji. Siapa tahu? Mungkin dengan jenaka-jenaka mereka yang bikin pecah perut itu secara tidak langsung telah 'menyembuhkan' banyak jiwa-jiwa depresi.  Akhiranya semasa final, dengan semangat juang yang jitu dan atas nama persahabatan yang luhur, Johan mengenepikan sakitnya seketika dan membuat persembahan bersama Zizan, yang mengundang sorak gemuruh penonton pada malam itu yang merindukan gabungan mereka berdua. Semangat positif sebeginilah yang patut kita tanam dalam diri.

Masih ingat lagi? Mereka sewaktu kurus. Karier mereka 
meningkat naik dengan adanya JOZAN SHOW.


Selaku Naib Juara dan Tempat Ke-3 Raja Lawak musim pertama, 
mereka terus mencuit penonton dengan gaya mengacara yang bersahaja Raja Lawak
Musim ke-2 hingga ke-6. 


Ternyata gandingan tanpa salah seorang dari mereka, akan menjadi tempang. Jo
tanpa Zan tidak akan menjadi, begitu juga sebaliknya.


Tahun berganti tahun, JOZAN tetap mantap sehingga dicalonkan dan menggondol trofi di 
dalam beberapa anugerah berprestij di persada hiburan, dan menjadi rebutan penggiat filem.


Segala-galanya tentang Sahabat dan Semangat


TAHNIAH !


Laughter is the best medicine!

Friday, January 11, 2013

Aizat.

Masih ingat lagi dahulu, sekitar 2007. Kehadirannya tidak begitu membuka mata semua. Mungkin diskriminasi. Gemuk. Kurang kacak. Normal. Banyak orang pandang hanya pada rupa. Bagaimanapun harus diakui vokalnya memang hebat. Bagi yang bijak menilai, parasnya itu ditolak ke tepi. Beberepa tahun selepas itu industri dikejutkan dengan penampilan terbarunya. Kurus! Dan muncullah 'Percubaan Pertama' yang membawa alunan-alunan Hits seperti 'Hanya Kau Yang Mampu' dan 'Lagu Kita'. Lalu dua tahun selepas  itu dengan 'Urusan Aizat Amdan' dan berjaya lagi mencuri halwa telinga dengan 'Sungai Lui'. Yang membuatkan aku cukup suka dengan pria ini adalah hasil nukilan serta karyanya yang banyak dihasilkan sendiri dan ternyata bakatnya tidak dapat disangkal. Sungai Lui misalnya, baitnya puitis, melodinya ternyata menggamit jiwa. Aizat juga membuktikan kehebatan bakatnya dengan merangkul pelbagai anugerah seperti  AJL 24 (Pergi), AIM 16 (Lagu Kita), APM (Hanya Kau Yang Mampu) dan ABPBH 2009 (Penyanyi Lelaki Popular) dan kini single terbarunya, Jerrypah.

Dan apa yang lebih membanggakan baru-baru ini, persembahannya yang menggantikan Yuna di saat-saat akhir bagi lagu Terukir di Bintang ternyata memukau. Versi lelaki bagi lagu ala klasik dan vintage itu menyuntik kelainan, selain persembahan bersahaja menyanyi dengan Mug dan klip video berlatarbelakangkan Paris yang khabarnya idea Yuna sendiri. Sorak dari penonton terutamanya wanita (termasuk aku sendiri) buat persembahan yang sungguh memikat dengan gayanya tampil bermisai dan romantis. kemuncaknya Terukir di Bintang ternyata terukir di dalam sejarah apabila keunikan lagu dan melodinya yang universal mengangkat lagu tersebut sebagai juara. Ternyata usaha Yuna mengambil Aizat sebagai penggantinya di saat-saat akhir memang berbaloi dan khabarnya Yuna sangat bangga dan berterima kasih kepada Aizat dan Aizat sendiri mengangumi Yuna hingga meminta penyanyi berbakat itu mencipta lagu untuknya.









Dan, ini yang lucu.



Wednesday, October 31, 2012

janji :')

jujur.
aku tak suka dengan janji.
sebab apa?
janji selalu bikin aku terawang-awang.
janji selalu kedengarannya yang manis-manis saja.
janji selalu mendebarkan jantung aku, tertunggu-tunggu.
tunggu.
tunggu.
iya, tunggu.
akhirnya apa? kosong. nantinya janji itu entah ke mana.
.....................................................................................
"janji yang paling tidak tepat dan tak boleh dipakai adalah,
janji manusia", kata Fahmi.
aku ingat lagi.
jadinya? masakan aku mahu berjanji dengan haiwan pula?
.....................................................................................
akhirnya, seperti selalu,
aku mengambil 'jalan pintas'
pujuk sekeping hati ini.
sendiri
:')

Sunday, August 26, 2012

Harapan 22 si pemuisi jalanan

aku kini pemegang angka 22 yang sudah layak memilih tampuk kerajaan.
di peringkat ini, yang berlegar di kotak fikir aku cuma..
rumahtangga.
oh tidak tidak. sekadar bercanda. bukan cuma itu.
sekadar ianya adalah salah satu daripada senarai wajib-laku-kehidupan.
salah satu penyebab aku sering dilempar 'gatal sangat dah kau ni?' adalah
kerana hentakan suasana dari kiri kanan.
masakan tidak, hampir separuh dari lingkungan teman bangku sekolah-dan-IPT
yang kini sudah, sedang, dan bakal membina masjid.
tidak kurang, ada yang sudah-atau-sedang enak mencurah kasih selaku
ibu bapa kepada permata hati si cahaya mata.
baik, aku mengerti amat bahwa aku belum cukup ilmu kematangan hidup
mahupun rumahtangga, memandangkan dengan '22' itu,
untuk memiliki tempat berteduh sendiri apalagi kenderaan juga aku belum mampu.
namun luahan lubuk hati yang kalian namakan 'gatal dah dia ni' adalah
sekadar perkongsian cerita suka-suka-antara-kita
dalam masa sama harapan-masa-hadapan aku.
di kesempatan ini, dengan senang hati ingin aku ucap selamat
untuk dua orang rakan, Linda dan Merah yang masing-masing telah
memiliki Imam. Alhamdulillah. Moga kalian berbahagia dengan barakahnya
hingga Jannah. Aamiin.